Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif.
Tidak ada negara mampu mencapai kemajuan tanpa memiliki modal insan cemerlang yang berkemahiran tinggi, boleh bertindak balas dengan pantas dan kreatif terhadap perubahan ekonomi, dan berpaksikan kepada penjanaan dan penggunaan pengetahuan.
Oleh itu, membangun, menarik dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat penting bagi mencapai hasrat negara.
Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional, serta paras produktiviti yang tinggi adalah antara ciri utama modal insan dan tenaga kerja negara berpendapatan tinggi.
Berdasarkan ciri ini, usaha perlu ditumpukan bagi mencapai tahap modal insan bertaraf dunia menjelang tahun 2020.
Carta 5-1 menunjukkan tahap modal insan Malaysia pada masa kini berbanding dengan beberapa negara berpendapatan tinggi berasaskan ciri tersebut.
Masih terdapat jurang yang luas untuk Malaysia mencapai modal insan bertaraf dunia dan risiko untuk ketinggalan semakin bertambah. Beberapa kajian antarabangsa menunjukkan prestasi pelajar Malaysia merosot berbanding dengan pelajar negara lain.
Mengikut Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)1 , 2007, lebih kurang 20% daripada pelajar Malaysia gagal mencapai tanda aras minimum dalam Matematik dan Sains, berbanding dengan hanya 5% dalam Sains dan 7% dalam Matematik pada tahun 2003.
Di samping itu, tenaga kerja secara relatifnya adalah tidak mahir. Sebanyak 77% daripada tenaga kerja hanya mempunyai pendidikan asas selama 11 tahun, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya dan hanya 28% daripada guna tenaga dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Kekurangan modal insan mahir akan menjadi lebih meruncing dalam persaingan global yang sengit memandangkan modal insan berkualiti akan tertarik ke negara yang menyediakan peluang paling baik.
Negara Asia seperti Republik Korea dan Singapura telah berjaya menjadi negara maju dalam tempoh satu generasi.
Kejayaan ini adalah hasil daripada penentuan yang jitu dan teliti terhadap sektor keutamaan yang perlu diberi fokus di samping memberi tumpuan kepada usaha membangun, meningkatkan kemahiran dan menghasilkan modal insan yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan sektor ekonomi tersebut.
Pembangunan modal insan bertaraf dunia di Malaysia memerlukan usaha yang komprehensif dan bersepadu daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat.
Sehubungan ini, kolaborasi antara pelbagai kementerian dan sektor swasta perlu diperkukuhkan untuk meningkatkan keberkesanan pembangunan modal insan dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.
Pendekatan holistik akan memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia di sepanjang peringkat kehidupan.
1 TIMSS menyediakan perbandingan dalam pencapaian Matematik dan Sains di peringkat antarabangsa dari semasa ke semasa bagi pelajar yang mengikuti lapan tahun persekolahan. Pada tahun 2007, sebanyak 59 buah negara menyertai kajian ini.
Bercita-cita Menjadi Seorang Pendidik?
Anda Akan Dilatih Menjadi Tenaga Pengajar Yang Berdedikasi, Bertauliah Dan Profesional
Pendaftaran Bagi Program
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak